Belajar atau Emosi? Mana Satu Lagi Penting?
20 July 2026

Kalau saya ditanya soalan ini, jawapan saya mudah. Emosi. Bukan sebab pelajaran tak penting. Tetapi kerana otak yang tenang lebih mudah menerima ilmu berbanding otak yang sedang tertekan. Ramai ibu bapa terus fokus kepada buku, latihan dan markah. Sedangkan anak baru dimarah, penat balik sekolah, bergaduh dengan adik, atau sedang risau tentang sesuatu. Dalam keadaan itu, kita minta dia duduk belajar selama sejam. Kemudian kita pelik kenapa dia tak boleh fokus. Hakikatnya, masalahnya bukan pada buku. Masalahnya ialah emosinya belum bersedia. Saya selalu percaya bahawa sebelum mengajar Matematik, Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, saya perlu "tune" emosi anak itu dahulu. Kadang-kadang saya akan berbual beberapa minit. Kadang-kadang saya bagi dia minum dulu. Kadang-kadang saya biarkan dia bercerita tentang hari yang dia lalui. Bila emosinya kembali stabil, barulah sesi pembelajaran bermula. Anehnya, masa yang "hilang" beberapa minit tadi selalunya akan diganti dengan pembelajaran yang jauh lebih berkesan. Anak lebih fokus. Lebih berani bertanya. Lebih yakin mencuba walaupun jawapannya salah. Sebagai orang dewasa pun, kalau bos marah kita pada waktu pagi, adakah kita boleh terus bekerja seperti biasa? Begitu juga dengan anak-anak. Mereka juga ada emosi. Bezanya, mereka belum pandai menguruskannya. Jadi sebelum kita bertanya, "Kenapa tak siap kerja sekolah?" Mungkin kita boleh bertanya, "Hari ini okey tak?" Kadang-kadang, satu soalan itu lebih membuka pintu kepada pembelajaran daripada sepuluh muka surat latihan. Kerana bagi saya, emosi bukan penghalang kepada pembelajaran. Emosi ialah pintu masuk kepada pembelajaran.