Paksa Anak Hafal Sifir.
17 July 2026

Ya, Saya Memang Cakap Macam Tu. Kalau ada satu benda yang saya selalu pesan dekat ibu bapa, benda tu ialah tolong paksa anak hafal sifir. Saya tahu ayat "paksa" tu kedengaran keras. Tapi percayalah, anak yang menghafal sifir dari awal akan jauh lebih mudah belajar Matematik berbanding anak yang masih mengira satu-satu. Ramai ingat sifir ni cuma untuk tajuk darab dalam operasi asas. Sebenarnya tak. Bila masuk topik pecahan, peratus, nisbah, pembahagian dan macam-macam lagi, semuanya berkait rapat dengan sifir. Sebab tu saya selalu cakap, sifir bukan sekadar satu topik. Sifir ialah asas kepada Matematik. Tapi saya juga faham. Tak semua anak boleh terus hafal sifir 2 sampai 12. Ada anak yang memang susah nak menghafal. Jadi saya selalu pesan, mulakan dengan sifir 2 dan sifir 5 dahulu. Kenapa? Sebab dua sifir ni boleh dijadikan "jalan pintas" untuk buat sifir yang lain. Contohnya, kalau anak tak ingat berapa jawapan 6 × 9, dia tak perlu ulang tambah nombor 6 sebanyak 9 kali. Dia boleh pecahkan macam ni: 6 × 9 = (6 × 5) + (6 × 2) + (6 × 2) 30 + 12 + 12 = 54 Ataupun kalau dia nak buat 7 × 8, dia boleh fikir: 7 × 8 = (7 × 5) + (7 × 2) + (7 × 1) 35 + 14 + 7 = 56 Nampak tak? Anak bukan lagi bergantung kepada penambahan berulang. Dia dah mula nampak corak nombor dan menggunakan sifir yang dia dah hafal untuk membina sifir yang lebih susah. Sebab tu saya selalu tekankan kepada ibu bapa, kalau rasa terlalu berat nak suruh anak hafal semua sifir sekali gus, jangan mengalah. Pastikan mereka kuasai sifir 2 dan sifir 5 dahulu. Bila dua sifir ni dah mantap, proses nak kuasai sifir-sifir lain akan jadi jauh lebih mudah. Matlamat kita bukan sekadar nak anak hafal sifir. Matlamat kita ialah supaya bila mereka jumpa soalan Matematik, mereka tahu cara berfikir untuk sampai kepada jawapan.