Readiness: Kenapa Saya Tidak Paksa Anak Belajar Mengikut Silibus
21 July 2026

Antara perkataan yang paling kerap saya gunakan semasa mengajar ialah readiness. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa sebenarnya readiness? Bagi saya, readiness ialah kesediaan seorang anak untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Contohnya; Ada anak berusia enam tahun yang sudah boleh membaca dengan lancar. Ada juga anak enam tahun yang masih sedang belajar mengenal suku kata. Adakah ini bermaksud anak yang belum boleh membaca itu malas atau kurang bijak? Tidak. Mungkin dia belum bersedia. Kenapa belum bersedia? Sebab setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza. Ada yang mempunyai kesukaran pembelajaran. Ada yang mengalami kelewatan perkembangan. Ada yang memerlukan lebih banyak pendedahan dan latihan. Semua itu mempengaruhi readiness mereka. Sebab itu saya tidak percaya semua anak perlu bergerak pada kelajuan yang sama. Dalam kelas saya, saya tidak mengajar mengikut umur semata-mata. Saya mengajar mengikut readiness. Kalau seorang anak masih belum bersedia, saya akan ikut rentak dia. Kalau perlahan, kita bergerak perlahan. Kita kukuhkan asas. Beri masa. Naikkan tahap sedikit demi sedikit. Saya tidak nampak itu sebagai satu kelemahan. Sebaliknya, saya nampak itu sebagai proses. Tetapi kalau seorang anak sudah menunjukkan dia benar-benar bersedia, saya juga tidak akan menahannya. Kadang-kadang saya akan melangkau dua atau tiga tahap sekaligus. Sebab saya percaya, anak yang sudah bersedia tidak sepatutnya diperlahan hanya kerana silibus mengatakan begitu. Falsafah saya mudah. Jangan paksa anak yang belum bersedia. Dan jangan hadkan anak yang sudah bersedia. Setiap anak mempunyai garis permulaan dan kadar perkembangan yang berbeza. Tugas saya bukan memastikan semua anak berada di halaman yang sama. Tugas saya ialah memastikan setiap anak terus bergerak ke hadapan, mengikut kemampuan dan readiness mereka. Kerana pada akhirnya, pendidikan bukan tentang siapa yang paling cepat. Tetapi tentang memastikan setiap anak diberi peluang untuk berkembang mengikut potensi mereka sendiri.