Memahami Hubungan Antara Nombor
13 Oktober 2026

Saya perasan kebanyakan murid Tahap 1 masih bergantung pada jari untuk membuat pengiraan asas Matematik, terutamanya operasi tambah dan tolak. Bukan salah mengira menggunakan jari. Ia merupakan salah satu kaedah yang membantu murid pada peringkat awal pembelajaran. Namun, kebergantungan yang berterusan boleh menyukarkan mereka apabila melibatkan nombor yang lebih besar. Jadi, saya mula memperkenalkan strategi MAKE 10 kepada murid-murid saya. Sebenarnya, kemahiran yang menjadi asas kepada strategi ini sudah pun diperkenalkan dalam Matematik Tahun 1, khususnya melalui topik kombinasi nombor dan operasi tambah. Ia bukanlah sesuatu yang asing atau di luar silibus pembelajaran. Melalui strategi ini, saya mahu murid memahami hubungan antara nombor dan bagaimana sesuatu nombor boleh dipecahkan serta digabungkan semula untuk memudahkan pengiraan. Contohnya, 7 + 5. 7 memerlukan 3 lagi untuk menjadi 10. Jadi, 5 boleh dipecahkan kepada 3 dan 2. 7 + 3 = 10 10 + 2 = 12 Apabila murid memahami hubungan antara nombor, mereka mula menyedari bahawa pengiraan tidak semestinya perlu dilakukan dengan membilang satu demi satu. Mereka boleh menggunakan kefahaman tersebut untuk membina kemahiran pengiraan mental (mental calculation) secara berperingkat. Strategi ini juga membantu menyediakan asas kepada pemahaman nilai tempat, operasi tambah dan tolak yang melibatkan nombor lebih besar serta konsep pengumpulan semula. Bagi saya, Matematik bukan tentang siapa yang paling cepat mendapat jawapan, tetapi tentang bagaimana murid memahami proses untuk mendapatkan jawapan tersebut. Matlamat saya bukan sekadar memastikan murid boleh menjawab soalan yang diberikan, tetapi supaya mereka mampu menggunakan kefahaman yang sama apabila berhadapan dengan soalan yang berbeza.